[Ulasan Berita] 7 Kesalahan Jalan Raya Terus Ke Mahkamah – Dari Sudut Keselamatan Jalan Raya

JPJ01

“TIADA LAGI KOMPAUN! TERUS DIHADAPKAN KE MAHKAMAH!”

Begitulah ketegasan yang ditunjukkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) seperti yang dinyatakan oleh Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa melalui satu posting di dalam laman sosial Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia semalam (20 Jun 2017, 8.17am). Sumber berita daripada Harian Metro dilaporkan oleh wartawan Rosliza Mohamed.

MyDIA menyokong penuh ketegasan beliau dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya yang sedia ada bagi mengurangkan lagi “masalah disiplin” para pemandu kita di musim perayaan ini yang semestinya akan meningkatkan risiko serta statistik kemalangan jalan raya.

Turut dinyatakan di dalam posting tersebut 7 jenis kesalahan jalan raya yang tidak boleh dikompaun jika dilakukan di musim perayaan ini yang mana akan berkuatkuasa mulai hari Ahad 25 Jun sehingga hari Ahad 2 Julai 2017. Di bawah ini kami sertakan secara copy paste posting tersebut (tulisan berwarna biru) dan kami juga akan membuat ulasan ringkas kenapa kesalahan-kesalahan tersebut perlu dielakkan dari sudut keselamatan jalan raya (tulisan warna merah dan kelabu gelap).

Menjadi tanggungjawab kami untuk sentiasa memberi maklumat dan pendidikan tentang kenapa undang-undang dan peraturan jalan raya dibuat dan dikuatkuasakan. Semoga posting kali ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada kita semua sebagai pengguna jalan raya.

Metro01

TIADA lagi kompaun sebaliknya pengguna jalan raya yang melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang Op Selamat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aidilfitri di Kelantan, terus didakwa di mahkamah.

Tujuh kesalahan itu ialah memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu menggunakan telefon bimbit, memandu melebihi had laju, kenderaan berat dipandu di lorong kanan, memandu di lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat.

1.MEMOTONG DI GARISAN BERKEMBAR: Garisan berkembar (double line) biasanya diletakkan di kawasan-kawasan yang tidak selamat untuk memotong. Garisan tersebut juga membawa maksud anda tidak boleh meletakkan kenderaan di bahu jalan dan juga tidak dibenarkan untuk membuat pusingan balik (U-Turn). Patuhilah segala garisan dan tanda di atas jalan kerana ia adalah sebagai salah satu panduan utama untuk kita mendapatkan maklumat tentang bahaya di jalan raya. Kesalahan ini adalah dikategorikan kesalahan serius kerana boleh mengakibatkan perlanggaran dari arah hadapan (bertembung).

garisan berkembar

2. TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR: Seperti yang kita sedia maklum, tali pinggang keledar mengikut undang-undang adalah WAJIB dipakai oleh pemandu dan juga semua penumpang di dalam kenderaan. Itulah sahaja alat keselamatan yang dapat memberikan sedikit jaminan kepada pemandu dan penumpang untuk terselamat daripada risiko kecederaan parah atau kematian jika ditakdirkan terlibat dalam perlanggaran. Ya benar, ajal maut itu di tangan Tuhan, tapi kita sebagai manusia wajib untuk berusaha menjaga keselamatan diri kita daripada sebarang risiko kemusnahan diri. Pakailah tali pinggang dan barulah berdoa dan bertawakal kepada Tuhan. Pakailah demi keselamatan diri dan keluarga tersayang. Kita mungkin tidak selalu bernasib baik dalam perlanggaran. Demi Tuhan, tali pinggang keledar sangat penting untuk dipakai.

tali pinggang keledar

3. MEMANDU MENGGUNAKAN TELFON BIMBIT: If you’re texting, you’re not driving“. Petikan iklan daripada pihak keselamatan jalan raya di UK yang selalu kami tayangkan di dalam kelas teori pemandu baru. Pemanduan adalah satu aktiviti yang sangat-sangat berisiko tinggi. Ia memerlukan penumpuan 100%. Apabila kita memberi tumpuan, tugasan lain seperti pemerhatian, berfikir dan mengambil tindakan yang selamat akan mampu kita lakukan. Sebelum memandu, matikan telefon bimbit/pintar atau letakkan di dalam mod senyap, dan simpan di tempat yang sukar dicapai semasa memandu. Jangan masukkan telefon bmbit/pintar di dalam poket seluar kerana ia akan juga mengganggu konsentrasi anda jika ia bergetar. Telefon pintar memang pintar, tetapi pintarkah anda jika digunakan semasa memandu?

4. MEMANDU MELEBIHI HAD LAJU: Had laju yang ditunjukkan melalui papan tanda dibuat bertujuan untuk memberitahu pemandu tentang kelajuan yang maksimum kenderaan boleh dipandu di kawasan tersebut. Had laju yang ditunjukkan seperti contoh Had Laju Kebangsaan 90km/j tidak bermakna kelajuan yang selamat. Ia hanya sebagai panduan kepada pemandu. Sentiasa mengambil kira faktor keadaan jalan, faktor lalulintas dan faktor cuaca bagi memastikan kelajuan yang selamat. Secara asasnya, kelajuan adalah antara faktor utama perlanggaran yang membawa maut atau kecederaan parah, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia! Jangan lupa, lagi laju anda memandu, lagi jauh jarak berhenti yang anda perlukan! Memandu laju juga tidak akan memberi masa yang cukup untuk anda menumpukan perhatian, membuat pemerhatian, membuat jangkaan dan seterusnya bertindak dalam masa dan ruang yang cukup bagi mengelak sesuatu perlanggaran. Jangan lupa juga untuk mengamalkan Peraturan 2 Saat dan 4 Saat untuk mengekori kenderaan di hadapan dengan selamat.

5. KENDERAAN BERAT DIPANDU DI LORONG KANAN: Kenderaan berat kebiasaannya bergerak lebih perlahan daripada kenderaan yang lebih ringan (kecil). Apabila memandu kenderaan berat, anda perlu sedar yang anda memandu kenderaan yang berisiko tinggi dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Kenderaan berat agak sukar dikawal disebabkan oleh saiz dan bebanan yang ada. Faktor itu juga akan membuatkan kenderaan berat memerlukan lebih banyak masa dan ruang untuk berhenti. Kenderaan berat juga mempunyai had laju yang lebih kurang berbanding kenderaan ringan. Jadi adalah munasabah jika ia dipandu di lorong kiri. Di musim perayaan begini, jumlah kenderaan akan meningkat, jadi setiap lorong di jalan raya perlu digunakan dengan berkesan dan lancar. Jadilah pemandu kenderaan berat yang lebih berwaspada dan bertanggungjawab terhadap pengguna jalan raya lain yang lebih terdedah kepada bahaya. Lagi besar dan berat sesebuah kenderaan itu, lebih besar kemusnahan yang akan terjadi jika berlaku perlanggaran.

lorry hogger

6. MEMANDU DI LORONG KECEMASAN: Lorong kecemasan juga dikenali sebagai bahu jalan. Lorong kecemasan atau bahu jalan bukanlah lorong untuk memandu atau menunggang. Adalah menjadi satu kesalahan jika memandu dan menunggang di lorong tersebut. Biarkan sentiasa kosong untuk digunakan oleh kenderaan yang rosak atau terpaksa berhenti disebabkan hal kecemasan. Sudah banyak perlanggaran yang membawa maut atau kecederaan parah yang berlaku di lorong kecemasan atau bahu jalan akibat terlanggar kenderaan yang sedang berhenti di situ. Lorong kecemasan mungkin perlu digunakan oleh kenderaan yang mempunyai hak keutamaan seperti Ambulans, Polis, Bomba, JPJ dan lain-lain agensi penguatkuasa dan keselamatan jika laluan utama tidak boleh dilalui akibat kesesakan jalan raya atau kemalangan. Jadilah pemandu yang lebih bijak dengan tidak menggunakan lorong tersebut ya…

7. MELANGGAR LAMPU ISYARAT: Lampu isyarat mempunyai 3 warna iaitu merah, kuning dan hijau. Ia berfungsi untuk mengawal lalulintas di persimpangan dan mengelakkan sebarang perlanggaran. Antara syarat utama untuk mendapatkan lesen memandu adalah tidak buta warna. Saya yakin dan percaya semua pemandu yang sudah mempunyai lesen memandu sudah tahu dan sangat faham tentang setiap warna lampu tersebut. Yang tinggal hanyalah nak ikut atau tidak. Kepada yang sudah lupa, lampu merah bermaksud berhenti. Hentikan kenderaan anda di belakang garisan putih dalam jarak yang selamat lebih kurang 2 meter (atau nampak garisan dari dalam kenderaan). Bebaskan gear (atau N bagi auto). Tarik brek tangan dan kaki kanan menekal pedal brek bagi menyalakan lampu brek di belakang. Ia penting untuk memberitahu pemandu di belakang yang anda sedang berhenti. Lampu kuning bermaksud bersedia untuk berhenti. Perlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti kecuali jika anda sudah bergerak melepasi garisan putih, atau jika tindakan anda berhenti boleh menyebabkan perlanggaran dengan kenderaan di belakang, teruskan perjalanan. Jangan lupa sentiasa lihat cermin pandang belakang sebelum menekan pedal brek untuk perlahan atau memberhentikan kenderaan.

Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tiada pengguna jalan raya memandu dalam keadaan membahayakan keselamatan orang ramai.

“Kita berhasrat tidak mengenakan kompaun sekiranya pengguna ditangkap lakukan kesalahan itu, sebaliknya terus membawa kes ke mahkamah.

“Penguatkuasaan dipergiatkan sepanjang tempoh operasi bermula Ahad hingga 2 Julai ini dan berharap semua pengguna mematuhi undang-undang,” katanya ketika melancarkan Op Selamat JPJ, Hari Raya Aidilfitri bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri dan Hotel Perdana di sini, hari ini.

Mahasan berkata, anggota penguat kuasanya juga digerakkan secara bersepadu untuk mengawal lalu lintas dan melakukan penyamaran dalam bas ekspres.

Kerjasama turut diadakan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menyaring pemandu bas daripada pengaruh dadah.

“Bagi kesalahan lain, kita keluarkan kompaun RM300 bagi setiap kesalahan dan jumlahnya tidak boleh dikurangkan,” katanya yang memberitahu kutipan kasar kompauan dalam operasi khas Aidilfitri tahun lalu, melebihi RM180,000.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana Taha Zainal berkata, pembabitan pihaknya dalam program itu sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertemakan Perdana Prihatin.

Katanya, mereka peka dan prihatin dalam menyedarkan masyarakat setempat mengenai kepentingan memandu selamat di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:47 PM
Pautan (link) asal kepada artikel tersebut boleh di baca di sini.. Harian Metro dan/atau Facebook JPJ Malaysia
Sekali lagi semoga posting ini memberi sedikit manfaat kepada anda, dan kami di MyDIA mengucapkan selamat memandu pulang ke kampung halaman dengan selamat dan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI!
“PATUHI PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG JALAN RAYA DEMI KESELAMATAN KITA SEMUA”
Salam hormat dari saya, Cikgu Marwan, Presiden MyDIA
FOTO KREDIT: Pihak-pihak yang berkenaan.

“Chest Belt Clip” Untuk Carseat Tidak Selamat Untuk Digunakan? Ibubapa mesti baca!

Salam sejahtera kepada anda semua..

APAKAH ITU CHEST CLIP? Secara ringkasnya, chest clip adalah satu alat yang dipasangkan pada tali pinggang keledar kerusi keselamatan kanak-kanak bagi menghalang kanak-kanak mengeluarkan tangan dan lengannya daripada ikatan tali pinggang keledar tersebut. Risiko untuk kanak-kanak mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan tulang belakang (spine) sangat tinggi jika tali pinggang keledar tidak dipakai dengan betul.

Baru sebentar tadi saya berkongsi tentang chest clip untuk tali pinggang keledar di kerusi keselamatan kanak-kanak (atau carseat) yang digunakan oleh anak saya di laman sosial Facebook peribadi. Seperti biasa saya juga akan share posting tersebut ke beberapa group dan Facebook Page yang lain untuk berkongsi ilmu. Antara group Facebook yang selalu saya berkongsi jika melibatkan penggunaan carseat kanak-kanak ini adalah laman Facebook “Malaysian Carseat Support Group“. Sehingga kini terdapat lebih daripada 8,000 ahli yang menjadi “penghuni” group tersebut.

carseat support group

Beberapa ketika kemudian, Admin group tersebut Puan Nurul Aida telah membuat komen ke atas posting saya tadi yang mengatakan penggunaan chest clip tersebut sebenarnya adalah kurang selamat jika ia dibeli secara berasingan (bukan didatangkan khas bersama dengan carseat yang dibeli). Malah menurut artikel yang dikongsikan oleh beliau turut menyatakann ia adalah salah di sisi undang-undang di United Kingdom (dan mungkin juga di beberapa negara maju yang lain). Pautan artikel tersebut akan saya kongsikan di bawah nanti.

illegal chest clips

Saya terjemahkan ringkasan info-info penting tentang kenapa chest clip tambahan tersebut merbahaya kepada si pemakai (anak-anak) yang dipetik dari artikel tersebut:

illegal chest clips 3

Ringkasan/Kesimpulan

Tubuh badan kanak-kanak sangat mudah untuk cedera. Tulang rusuk mereka sangat lembut dan tidak akan dapat menahan tekanan (yang kuat) yang terhasil daripada chest clip tersebut.

Tisu-tisu lembut sangat mudah untuk cedera/rosak (lihat gambar di bawah):

  • Saluran dan pembuluh darah
  • Jantung
  • Tisu paru-paru

Dalam perlanggaran dengan kelajuan 30 batu sejam (48 km/j), seorang kanak-kanak akan mengalami tekanan (graviti) sehingga 60g! Ini adalah sangat tinggi/kuat dan risiko kecederaan dalaman adalah sangat tinggi. Lihat kanak-kanak di sebelah kanan dalam video yang ditunjukkan dalam Facebook Page kami.

Patung ujian perlanggaran yang digunakan tidak dapat mengukur kuasa hentakan yang diperolehi dari ekperimen tersebut. (Baca maklumat lanjut dalam laman web di bawah artikel ini).

Child-car-seat-Anatomy-labelled

“JIKA CHEST CLIP TIDAK SELAMAT UNTUK DIGUNAKAN, APAKAH PILIHAN YANG ADA?”

Anda mempunyai 2 pilihan setakat ini (mungkin lebih):

  • Gunakan alat tambahan yang dikenali sebagai “5 Point Plus” (pautan disediakan di akhir artikel). Alat ini akan menghalang kanak-kanak untuk mengeluarkan lengan mereka daripada tali pinggang keledar.
  • Menggunakan cara seperti yang disyorkan oleh Puan Aida seperti gambarajah di bawah. Cara yang bijak juga dan yang penting menjimatkan!

Saya amat berterima kasih kepada Puan Nurul Aida kerana telah memberi satu info baru yang saya sendiri tidak sedar kewujudannya. Benarlah ilmu ini sangat luas dan kita harus menimba ilmu dan belajar sehingga ke liang lahat! Selagi kita mahu belajar, selagi itulah kita akan dapat menerima ilmu pengetahuan yang baru.

Walaupun saya seorang Pengajar Memandu, saya masih lagi belajar dan terus belajar dalam bidang pendidikan dan latihan pemanduan, juga dalam keselamatan jalan raya. Lagi banyak kita belajar, lagi banyak yang kita akan jumpa nanti (ilmu baru).

Diharapkan dengan artikel ini, para pengguna jalan raya terutama sekali pengguna kerusi keselamatan kanak-kanak akan lebih peka tentang keselamatan peralatan yang digunakan.

Saya juga mengesyorkan supaya para ibubapa dan penjaga untuk menyertai group tersebut (Malaysian Carseat Support Group) untuk menimba ilmu tentang penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak untuk anak anda.

Kita juga sudah sedia maklum bahawa penggunaan carseat ini masih digunakan secara “sukarela” yang mana ia masih belum diwartakan sebagai undang-undang oleh pihak kerajaan Malaysia. Namun demikian, sebagai ibubapa dan penjaga yang bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak di dalam kenderaan, adalah wajar untuk kita mengambil inisiatif sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak demi keselamatan anak-anak kita sendiri.

IMG_0799

Musim perayaan akan tiba tidak lama lagi, ramai yang akan memandu pulang ke kampung halaman masing-masing, Jangan lupa jalan raya akan menjadi sesak dan oleh itu risiko untuk berlaku perlanggaran akan menjadi sangat tinggi. Selain daripada memandu dengan berhemah, jangan lupa memakai alat-alat keselamatan di dalam kenderaan anda seperti tali pinggang keledar di hadapan dan belakang.

Jaga dan utamakan keselamatan sepanjang masa kerana “Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Kita Bersama”.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin daripada saya,

Cikgu Marwan, Pengajar Memandu dan Presiden MyDIA.

Pautan laman web artikel di atas:

5 Point Plus | Malaysia Carseat Support Group

PENGGUNAAN LAMPU HAZARD SEMASA HUJAN? BOLEH ATAU TIDAK?

Sehingga kini ramai yang masih tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak digunakan lampu “double signal” atau Hazard Light (Lampu Hazard) semasa hujan atau hujan lebat?

Jawapannya masih sama dan tidak akan berubah iaitu TIDAK BOLEH! Di kebanyakan negara maju ia sememangnya dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang lalulintas di negara mereka. Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard dalam Kod Lebuhraya (Highway Code) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Secara ringkasnya, lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya yang lain supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya untuk mengelak daripada berlakunya perlanggaran.

Terdapat beberapa jenis kenderaan (motokar atau motosikal) yang telah dipasangkan sistem automatik untuk menyalakan lampu hazard ini apabila ia mengesan sebarang aktiviti membrek secara keras atau mengejut. Sekali lagi ia bertujuan untuk menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak perlanggaran.

BMW menamakannya sebagai Dynamic Brake Light System seperti yang dapat dilihat dalam video ini https://youtu.be/HdfaOt1M1Jc

Di Malaysia, kita dapat lihat penggunaan lampu hazard semasa hujan lebat, konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda (towed). Juga dapat dilihat digunakan oleh kenderaan kecemasan seperti ambulans.

Masalah dari penggunaan lampu hazard semasa kenderaan bergerak ini adalah:

(1) Akan mengelirukan pengguna jalan raya yang lain semasa kadar penglihatan kurang seperti contoh dalam hujan lebat. Ia sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan!

(2) Jika lampu hazard dipasang, bagaimana anda ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana anda ingin membelok? Kenderaan kecemasan seperti Polis, Bomba, Ambulans dan kenderaan agensi kecemasan yang lain telah dilengkapi dengan sistem lampu amaran di atas bumbung lengkap dengan sistem bunyi siren. Jadi lampu isyarat boleh atau sepatutnya digunakan untuk memberitahu tentang arah untuk membelok.

Anda dapat bayangkan tak betapa kelirunya (dan bahayanya) jika kita salahgunakan lampu hazard tersebut?

Jadi kesimpulannya sekali lagi, hanya gunakan lampu hazard dalam dua keadaan ini:

  1. Semasa kenderaan berhenti di tengah jalan atau tepi jalan atau di laluan yang mengganggu lalulintas yang lain akibat kenderaan yang rosak.
  2. Anda ingin membrek lebih keras (hard braking) disebabkan terdapat bahaya yang muncul secara tiba-tiba di hadapan laluan anda dan ingin memberi amaran kepada kenderaan yang mengekori supaya lebih peka dan bertindak segera dengan selamat bagi mengelak sebarang perlanggaran. Tapi anda perlu ingat, semasa anda cuba menekan butang/suis lampu hazard tersebut, anda hanya menggunakan sebelah tangan sahaja untuk mengawal stereng, yang mana boleh menyebabkan kawalan yang tidak stabil.. Berhati-hati! Gunakan jika benar-benar perlu sahaja ye.. Utamakan keselamatan!

Namun demikian, saya secara peribadi sering menggunakan lampu hazard kenderaan motokar saya apabila berada dalam keadaan berikut:

  • Apabila ingin menurunkan penumpang di tepi jalan. Untuk keselamatan sentiasa minta penumpang belakang untuk keluar dari pintu di sebelah kiri, jauh dari laluan kenderaan dari belakang.
  • Semasa menunggu seseorang di tepi jalan (bahu jalan).
  • Semasa berhenti (tidak semestinya selalu) untuk memberi laluan kepada pejalan kaki atau haiwan yang melintas.
  • Dalam apa sahaja keadaan yang saya ingin memberi amaran supaya kenderaan di belakang untuk berhenti dan TIDAK MEMOTONG kenderaan saya disebabkan ada bahaya atau hazard di hadapan.

Sebagai LANGKAH KESELAMATAN TAMBAHAN, jika anda melihat kenderaan di hadapan memberikan lampu hazard, perlahankan kenderaan dengan selamat dan jangan memotong secara melulu! Lihat dulu apa yang berlaku di hadapan anda sebelum membuat sebarang keputusan untuk memintas atau memotong kenderaan tersebut. SLOW DOWN!

Info lanjut tentang penggunaan lampu hazard boleh dibaca DI SINI atau Google je InsyaAllah akan jumpa banyak info.

“Selamat memandu dengan berhemah!”

Artikel ini telah ditulis oleh Cikgu Marwan, Presiden MyDIA bagi menjawab pertanyaan rakan Facebook sebentar tadi.

Pemanduan Selamat, Teknologi Kenderaan dan Perlanggaran


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya ingin mengupas persoalan mengapa perlanggaran sebegini boleh berlaku dari sudut pemanduan selamat dan perkembangan dalam teknologi sistem brek kenderaan.

Setelah membaca artikel tersebut, saya difahamkan bahawa insiden ini berlaku apabila salah satu kenderaan yang terlibat di hadapan sekali iaitu sebuah kereta jenama Mercedes Benz telah membrek secara mengejut (kecemasan) susulan dari sebuah kenderaan di hadapannya yang membrek secara tiba-tiba. Akibat dari tindakan tersebut, sebuah kereta Proton Saga merempuh belakang kereta Mercedes Benz itu.

Terdapat 3 lagi kereta di belakang yang sedang mengekori turut melanggar kenderaan di hadapan masing-masing. Ia melibatkan 5 buah kereta dalam insiden ini.

Tujuan ulasan ini dibuat adalah untuk kita sama-sama mengkaji dan mengambil iktibar dari insiden yang sama yang kerap berlaku di jalan raya. Akibatnya banyak kemusnahan harta benda, kecederaan (ringan atau parah) dan kematian berlaku saban hari.

Berikut adalah beberapa saranan (atau tips) penting dalam memastikan kita sentiasa selamat di jalan raya:

Amalkan penggunaan teknik C.O.A.S.T dalam pemanduan anda. COAST adalah singkatan untuk:

C = Concentration (Penumpuan)

O = Observation (Pemerhatian)

A = Anticipation (Menjangka)

S = Space (Jarak)

T = Time (Masa)

PENUMPUAN (Concentration)

Apabila kita sudah membuat keputusan untuk memandu, elakkan dari membuat sesuatu yang boleh mengalih tumpuan kita. Ia termasuklah menggunakan telefon bimbit (menaip atau berbual walaupun menggunakan kit bebas tangan) semasa memandu. Menumpu perhatian juga melibatkan aktiviti otak kita. Jangan berangan-angan atau memikirkan perkara lain selain dari aktiviti pemanduan anda. Apa sahaja aktiviti yang akan mengganggu pemerhatian dan emosi anda semasa memandu perlu dielakkan.

PEMERHATIAN (Observation)

Sentiasa memerhati keadaan di sekeliling dengan menggunakan cermin pandang belakang dan cermin sisi kanan dan kiri dan juga membuat pemerhatian sejauh mungkin di hadapan anda. Sepanjang masa memandu kita perlu sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling kita. Pemerhatian yang efektif hanya boleh dilakukan jika kita MENUMPUKAN PERHATIAN sepenuhnya terhadap pemanduan anda.

Apa yang perlu diperhatikan? Sentiasa perhatikan ‘hazards‘ iaitu pengguna jalan raya yang lain sama ada yang bergerak atau pun tidak, perhatikan juga keadaan lalulintas, permukaan jalan raya dan segala macam tanda isyarat lalulintas. Semua perkara tersebut akan memberi kita maklumat awal untuk apa yang perlu dilakukan kemudian.

MENJANGKA (Anticipation)

Semasa memandu ada situasi yang kita boleh jangkakan sesuatu akan berlaku dan ada juga situasi yang kita tidak jangka akan berlaku. “Always expect the unexpected“.. Sentiasa jangka sesuatu di luar jangkaan. Ia termasuklah menjangka pergerakan hazards yang bakal berlaku dan yang telah berlaku di sekeliling anda, terutama sekali di bahagian hadapan. Sentiasa fikir “What if” atau apa akan berlaku jika sesuatu yang buruk terjadi disebabkan oleh pergerakan hazards yang anda kenalpasti.

JARAK (Space)

Amalkan jarak mengekori yang selamat apabila mengekori kenderaan lain. Peraturan asas pemanduan selamat adalah penggunaan Peraturan 2 Saat (2 Second Rule) yang digunapakai di seluruh dunia. Jarak mengekori 2 saat adalah jarak yang selamat antara kenderaan anda dan kenderaan di hadapan anda. Sekiranya kenderaan di hadapan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba, anda akan mempunyai masa yang cukup untuk memberhentikan kenderaan anda dengan selamat. Rujuk foto ilustrasi untuk cara pengiraan. Jangan lupa anda perlu mengira dalam sebutan “Satu ribu satu, satu ribu dua” untuk pengiraan yang lebih tepat. Lebih laju kenderaan yang anda pandu, lebih jauh jarak berhenti yang diperlukan. Jika ada kenderaan lain yang mengekori rapat di belakang anda, anda perlu jarakkan 2 kali ganda (atau 4 saat) dengan kenderaan di hadapan untuk memberi ruang kepada kenderaan di belakang membrek dengan selamat.


Jangan lupa, anda perlu juga menjaga ruang atau jarak antara kenderaan dan hazard lain di sisi kenderaan anda. Jarak minimum yang selamat adalah sekurang-kurangnya 1 meter (atau 3 kaki) untuk memotong atau melepasi sesuatu hazard. Perlahankan kenderaan jika anda tidak dapat berikan ruang yang mininum tersebut.

MASA (Time)

Pemanduan memerlukan anda bertindak dalam masa yang sangat pantas. Memandu dengan laju akan menyebabkan anda kehilangan masa yang berharga untuk berfikir dan bertindak dengan berkesan. Sentiasa patuhi had laju yang telah ditetapkan. Ia dibuat kerana bersebab, bukan untuk menyusahkan kita.

Bagaimana pula TEKNOLOGI KENDERAAN dapat membantu pemandu lebih selamat?
Jika anda ingin membeli kenderaan, saya sarankan anda membeli kenderaan yang dilengkapi dengan Sistem Brek ABS (Anti-Lock Braking System). Sistem brek tersebut akan memastikan kenderaan dapat dikawal dengan lebih selamat dan berkesan apabila pemandu terpaksa membrek dengan kuat. Ia mengelakkan daripada roda terkunci yang boleh menyebabkan hilang cengkaman seterusnya kegagalan berhenti dengan selamat (dan cepat dengan jarak yang lebih singkat).

Bak kata orang, “always buy the best car you can afford” (sentiasa beli kereta yang paling mampu anda beli). Kereta yang lebih “mahal” kebiasaannya dilengkapi dengan alat dan teknologi keselamatan yang lebih baik.

Itu sahaja perkongsian kali ini.. Salam hormat dari saya dan pandulah dengan selamat.. Jangan lupa pemakaian tali pinggang keledar dan kerusi keselamatan kanak-kanak. Ia mampu menyelamatkan banyak nyawa.

Artikel lanjut tentang insiden ini boleh dibaca di sini


Ditulis oleh Cikgu Marwan,

Pengajar Memandu, Penilai Ujian Berkelayakan (QTI), Penceramah KPP dan juga Presiden MyDIA