[Ulasan Berita] 7 Kesalahan Jalan Raya Terus Ke Mahkamah – Dari Sudut Keselamatan Jalan Raya

JPJ01

“TIADA LAGI KOMPAUN! TERUS DIHADAPKAN KE MAHKAMAH!”

Begitulah ketegasan yang ditunjukkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) seperti yang dinyatakan oleh Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa melalui satu posting di dalam laman sosial Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia semalam (20 Jun 2017, 8.17am). Sumber berita daripada Harian Metro dilaporkan oleh wartawan Rosliza Mohamed.

MyDIA menyokong penuh ketegasan beliau dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya yang sedia ada bagi mengurangkan lagi “masalah disiplin” para pemandu kita di musim perayaan ini yang semestinya akan meningkatkan risiko serta statistik kemalangan jalan raya.

Turut dinyatakan di dalam posting tersebut 7 jenis kesalahan jalan raya yang tidak boleh dikompaun jika dilakukan di musim perayaan ini yang mana akan berkuatkuasa mulai hari Ahad 25 Jun sehingga hari Ahad 2 Julai 2017. Di bawah ini kami sertakan secara copy paste posting tersebut (tulisan berwarna biru) dan kami juga akan membuat ulasan ringkas kenapa kesalahan-kesalahan tersebut perlu dielakkan dari sudut keselamatan jalan raya (tulisan warna merah dan kelabu gelap).

Menjadi tanggungjawab kami untuk sentiasa memberi maklumat dan pendidikan tentang kenapa undang-undang dan peraturan jalan raya dibuat dan dikuatkuasakan. Semoga posting kali ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada kita semua sebagai pengguna jalan raya.

Metro01

TIADA lagi kompaun sebaliknya pengguna jalan raya yang melakukan tujuh kesalahan utama sepanjang Op Selamat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aidilfitri di Kelantan, terus didakwa di mahkamah.

Tujuh kesalahan itu ialah memotong di garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu menggunakan telefon bimbit, memandu melebihi had laju, kenderaan berat dipandu di lorong kanan, memandu di lorong kecemasan dan melanggar lampu isyarat.

1.MEMOTONG DI GARISAN BERKEMBAR: Garisan berkembar (double line) biasanya diletakkan di kawasan-kawasan yang tidak selamat untuk memotong. Garisan tersebut juga membawa maksud anda tidak boleh meletakkan kenderaan di bahu jalan dan juga tidak dibenarkan untuk membuat pusingan balik (U-Turn). Patuhilah segala garisan dan tanda di atas jalan kerana ia adalah sebagai salah satu panduan utama untuk kita mendapatkan maklumat tentang bahaya di jalan raya. Kesalahan ini adalah dikategorikan kesalahan serius kerana boleh mengakibatkan perlanggaran dari arah hadapan (bertembung).

garisan berkembar

2. TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR: Seperti yang kita sedia maklum, tali pinggang keledar mengikut undang-undang adalah WAJIB dipakai oleh pemandu dan juga semua penumpang di dalam kenderaan. Itulah sahaja alat keselamatan yang dapat memberikan sedikit jaminan kepada pemandu dan penumpang untuk terselamat daripada risiko kecederaan parah atau kematian jika ditakdirkan terlibat dalam perlanggaran. Ya benar, ajal maut itu di tangan Tuhan, tapi kita sebagai manusia wajib untuk berusaha menjaga keselamatan diri kita daripada sebarang risiko kemusnahan diri. Pakailah tali pinggang dan barulah berdoa dan bertawakal kepada Tuhan. Pakailah demi keselamatan diri dan keluarga tersayang. Kita mungkin tidak selalu bernasib baik dalam perlanggaran. Demi Tuhan, tali pinggang keledar sangat penting untuk dipakai.

tali pinggang keledar

3. MEMANDU MENGGUNAKAN TELFON BIMBIT: If you’re texting, you’re not driving“. Petikan iklan daripada pihak keselamatan jalan raya di UK yang selalu kami tayangkan di dalam kelas teori pemandu baru. Pemanduan adalah satu aktiviti yang sangat-sangat berisiko tinggi. Ia memerlukan penumpuan 100%. Apabila kita memberi tumpuan, tugasan lain seperti pemerhatian, berfikir dan mengambil tindakan yang selamat akan mampu kita lakukan. Sebelum memandu, matikan telefon bimbit/pintar atau letakkan di dalam mod senyap, dan simpan di tempat yang sukar dicapai semasa memandu. Jangan masukkan telefon bmbit/pintar di dalam poket seluar kerana ia akan juga mengganggu konsentrasi anda jika ia bergetar. Telefon pintar memang pintar, tetapi pintarkah anda jika digunakan semasa memandu?

4. MEMANDU MELEBIHI HAD LAJU: Had laju yang ditunjukkan melalui papan tanda dibuat bertujuan untuk memberitahu pemandu tentang kelajuan yang maksimum kenderaan boleh dipandu di kawasan tersebut. Had laju yang ditunjukkan seperti contoh Had Laju Kebangsaan 90km/j tidak bermakna kelajuan yang selamat. Ia hanya sebagai panduan kepada pemandu. Sentiasa mengambil kira faktor keadaan jalan, faktor lalulintas dan faktor cuaca bagi memastikan kelajuan yang selamat. Secara asasnya, kelajuan adalah antara faktor utama perlanggaran yang membawa maut atau kecederaan parah, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia! Jangan lupa, lagi laju anda memandu, lagi jauh jarak berhenti yang anda perlukan! Memandu laju juga tidak akan memberi masa yang cukup untuk anda menumpukan perhatian, membuat pemerhatian, membuat jangkaan dan seterusnya bertindak dalam masa dan ruang yang cukup bagi mengelak sesuatu perlanggaran. Jangan lupa juga untuk mengamalkan Peraturan 2 Saat dan 4 Saat untuk mengekori kenderaan di hadapan dengan selamat.

5. KENDERAAN BERAT DIPANDU DI LORONG KANAN: Kenderaan berat kebiasaannya bergerak lebih perlahan daripada kenderaan yang lebih ringan (kecil). Apabila memandu kenderaan berat, anda perlu sedar yang anda memandu kenderaan yang berisiko tinggi dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Kenderaan berat agak sukar dikawal disebabkan oleh saiz dan bebanan yang ada. Faktor itu juga akan membuatkan kenderaan berat memerlukan lebih banyak masa dan ruang untuk berhenti. Kenderaan berat juga mempunyai had laju yang lebih kurang berbanding kenderaan ringan. Jadi adalah munasabah jika ia dipandu di lorong kiri. Di musim perayaan begini, jumlah kenderaan akan meningkat, jadi setiap lorong di jalan raya perlu digunakan dengan berkesan dan lancar. Jadilah pemandu kenderaan berat yang lebih berwaspada dan bertanggungjawab terhadap pengguna jalan raya lain yang lebih terdedah kepada bahaya. Lagi besar dan berat sesebuah kenderaan itu, lebih besar kemusnahan yang akan terjadi jika berlaku perlanggaran.

lorry hogger

6. MEMANDU DI LORONG KECEMASAN: Lorong kecemasan juga dikenali sebagai bahu jalan. Lorong kecemasan atau bahu jalan bukanlah lorong untuk memandu atau menunggang. Adalah menjadi satu kesalahan jika memandu dan menunggang di lorong tersebut. Biarkan sentiasa kosong untuk digunakan oleh kenderaan yang rosak atau terpaksa berhenti disebabkan hal kecemasan. Sudah banyak perlanggaran yang membawa maut atau kecederaan parah yang berlaku di lorong kecemasan atau bahu jalan akibat terlanggar kenderaan yang sedang berhenti di situ. Lorong kecemasan mungkin perlu digunakan oleh kenderaan yang mempunyai hak keutamaan seperti Ambulans, Polis, Bomba, JPJ dan lain-lain agensi penguatkuasa dan keselamatan jika laluan utama tidak boleh dilalui akibat kesesakan jalan raya atau kemalangan. Jadilah pemandu yang lebih bijak dengan tidak menggunakan lorong tersebut ya…

7. MELANGGAR LAMPU ISYARAT: Lampu isyarat mempunyai 3 warna iaitu merah, kuning dan hijau. Ia berfungsi untuk mengawal lalulintas di persimpangan dan mengelakkan sebarang perlanggaran. Antara syarat utama untuk mendapatkan lesen memandu adalah tidak buta warna. Saya yakin dan percaya semua pemandu yang sudah mempunyai lesen memandu sudah tahu dan sangat faham tentang setiap warna lampu tersebut. Yang tinggal hanyalah nak ikut atau tidak. Kepada yang sudah lupa, lampu merah bermaksud berhenti. Hentikan kenderaan anda di belakang garisan putih dalam jarak yang selamat lebih kurang 2 meter (atau nampak garisan dari dalam kenderaan). Bebaskan gear (atau N bagi auto). Tarik brek tangan dan kaki kanan menekal pedal brek bagi menyalakan lampu brek di belakang. Ia penting untuk memberitahu pemandu di belakang yang anda sedang berhenti. Lampu kuning bermaksud bersedia untuk berhenti. Perlahankan kenderaan dan bersedia untuk berhenti kecuali jika anda sudah bergerak melepasi garisan putih, atau jika tindakan anda berhenti boleh menyebabkan perlanggaran dengan kenderaan di belakang, teruskan perjalanan. Jangan lupa sentiasa lihat cermin pandang belakang sebelum menekan pedal brek untuk perlahan atau memberhentikan kenderaan.

Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan tiada pengguna jalan raya memandu dalam keadaan membahayakan keselamatan orang ramai.

“Kita berhasrat tidak mengenakan kompaun sekiranya pengguna ditangkap lakukan kesalahan itu, sebaliknya terus membawa kes ke mahkamah.

“Penguatkuasaan dipergiatkan sepanjang tempoh operasi bermula Ahad hingga 2 Julai ini dan berharap semua pengguna mematuhi undang-undang,” katanya ketika melancarkan Op Selamat JPJ, Hari Raya Aidilfitri bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri dan Hotel Perdana di sini, hari ini.

Mahasan berkata, anggota penguat kuasanya juga digerakkan secara bersepadu untuk mengawal lalu lintas dan melakukan penyamaran dalam bas ekspres.

Kerjasama turut diadakan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menyaring pemandu bas daripada pengaruh dadah.

“Bagi kesalahan lain, kita keluarkan kompaun RM300 bagi setiap kesalahan dan jumlahnya tidak boleh dikurangkan,” katanya yang memberitahu kutipan kasar kompauan dalam operasi khas Aidilfitri tahun lalu, melebihi RM180,000.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Perdana Taha Zainal berkata, pembabitan pihaknya dalam program itu sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertemakan Perdana Prihatin.

Katanya, mereka peka dan prihatin dalam menyedarkan masyarakat setempat mengenai kepentingan memandu selamat di jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 6:47 PM
Pautan (link) asal kepada artikel tersebut boleh di baca di sini.. Harian Metro dan/atau Facebook JPJ Malaysia
Sekali lagi semoga posting ini memberi sedikit manfaat kepada anda, dan kami di MyDIA mengucapkan selamat memandu pulang ke kampung halaman dengan selamat dan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI!
“PATUHI PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG JALAN RAYA DEMI KESELAMATAN KITA SEMUA”
Salam hormat dari saya, Cikgu Marwan, Presiden MyDIA
FOTO KREDIT: Pihak-pihak yang berkenaan.
Advertisements

Published by

marwanmahmud

Driving & Riding Instructor | Road Safety Activists | MyDIA President

One thought on “[Ulasan Berita] 7 Kesalahan Jalan Raya Terus Ke Mahkamah – Dari Sudut Keselamatan Jalan Raya”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s