Pemanduan Selamat, Teknologi Kenderaan dan Perlanggaran


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya ingin mengupas persoalan mengapa perlanggaran sebegini boleh berlaku dari sudut pemanduan selamat dan perkembangan dalam teknologi sistem brek kenderaan.

Setelah membaca artikel tersebut, saya difahamkan bahawa insiden ini berlaku apabila salah satu kenderaan yang terlibat di hadapan sekali iaitu sebuah kereta jenama Mercedes Benz telah membrek secara mengejut (kecemasan) susulan dari sebuah kenderaan di hadapannya yang membrek secara tiba-tiba. Akibat dari tindakan tersebut, sebuah kereta Proton Saga merempuh belakang kereta Mercedes Benz itu.

Terdapat 3 lagi kereta di belakang yang sedang mengekori turut melanggar kenderaan di hadapan masing-masing. Ia melibatkan 5 buah kereta dalam insiden ini.

Tujuan ulasan ini dibuat adalah untuk kita sama-sama mengkaji dan mengambil iktibar dari insiden yang sama yang kerap berlaku di jalan raya. Akibatnya banyak kemusnahan harta benda, kecederaan (ringan atau parah) dan kematian berlaku saban hari.

Berikut adalah beberapa saranan (atau tips) penting dalam memastikan kita sentiasa selamat di jalan raya:

Amalkan penggunaan teknik C.O.A.S.T dalam pemanduan anda. COAST adalah singkatan untuk:

C = Concentration (Penumpuan)

O = Observation (Pemerhatian)

A = Anticipation (Menjangka)

S = Space (Jarak)

T = Time (Masa)

PENUMPUAN (Concentration)

Apabila kita sudah membuat keputusan untuk memandu, elakkan dari membuat sesuatu yang boleh mengalih tumpuan kita. Ia termasuklah menggunakan telefon bimbit (menaip atau berbual walaupun menggunakan kit bebas tangan) semasa memandu. Menumpu perhatian juga melibatkan aktiviti otak kita. Jangan berangan-angan atau memikirkan perkara lain selain dari aktiviti pemanduan anda. Apa sahaja aktiviti yang akan mengganggu pemerhatian dan emosi anda semasa memandu perlu dielakkan.

PEMERHATIAN (Observation)

Sentiasa memerhati keadaan di sekeliling dengan menggunakan cermin pandang belakang dan cermin sisi kanan dan kiri dan juga membuat pemerhatian sejauh mungkin di hadapan anda. Sepanjang masa memandu kita perlu sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling kita. Pemerhatian yang efektif hanya boleh dilakukan jika kita MENUMPUKAN PERHATIAN sepenuhnya terhadap pemanduan anda.

Apa yang perlu diperhatikan? Sentiasa perhatikan ‘hazards‘ iaitu pengguna jalan raya yang lain sama ada yang bergerak atau pun tidak, perhatikan juga keadaan lalulintas, permukaan jalan raya dan segala macam tanda isyarat lalulintas. Semua perkara tersebut akan memberi kita maklumat awal untuk apa yang perlu dilakukan kemudian.

MENJANGKA (Anticipation)

Semasa memandu ada situasi yang kita boleh jangkakan sesuatu akan berlaku dan ada juga situasi yang kita tidak jangka akan berlaku. “Always expect the unexpected“.. Sentiasa jangka sesuatu di luar jangkaan. Ia termasuklah menjangka pergerakan hazards yang bakal berlaku dan yang telah berlaku di sekeliling anda, terutama sekali di bahagian hadapan. Sentiasa fikir “What if” atau apa akan berlaku jika sesuatu yang buruk terjadi disebabkan oleh pergerakan hazards yang anda kenalpasti.

JARAK (Space)

Amalkan jarak mengekori yang selamat apabila mengekori kenderaan lain. Peraturan asas pemanduan selamat adalah penggunaan Peraturan 2 Saat (2 Second Rule) yang digunapakai di seluruh dunia. Jarak mengekori 2 saat adalah jarak yang selamat antara kenderaan anda dan kenderaan di hadapan anda. Sekiranya kenderaan di hadapan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba, anda akan mempunyai masa yang cukup untuk memberhentikan kenderaan anda dengan selamat. Rujuk foto ilustrasi untuk cara pengiraan. Jangan lupa anda perlu mengira dalam sebutan “Satu ribu satu, satu ribu dua” untuk pengiraan yang lebih tepat. Lebih laju kenderaan yang anda pandu, lebih jauh jarak berhenti yang diperlukan. Jika ada kenderaan lain yang mengekori rapat di belakang anda, anda perlu jarakkan 2 kali ganda (atau 4 saat) dengan kenderaan di hadapan untuk memberi ruang kepada kenderaan di belakang membrek dengan selamat.


Jangan lupa, anda perlu juga menjaga ruang atau jarak antara kenderaan dan hazard lain di sisi kenderaan anda. Jarak minimum yang selamat adalah sekurang-kurangnya 1 meter (atau 3 kaki) untuk memotong atau melepasi sesuatu hazard. Perlahankan kenderaan jika anda tidak dapat berikan ruang yang mininum tersebut.

MASA (Time)

Pemanduan memerlukan anda bertindak dalam masa yang sangat pantas. Memandu dengan laju akan menyebabkan anda kehilangan masa yang berharga untuk berfikir dan bertindak dengan berkesan. Sentiasa patuhi had laju yang telah ditetapkan. Ia dibuat kerana bersebab, bukan untuk menyusahkan kita.

Bagaimana pula TEKNOLOGI KENDERAAN dapat membantu pemandu lebih selamat?
Jika anda ingin membeli kenderaan, saya sarankan anda membeli kenderaan yang dilengkapi dengan Sistem Brek ABS (Anti-Lock Braking System). Sistem brek tersebut akan memastikan kenderaan dapat dikawal dengan lebih selamat dan berkesan apabila pemandu terpaksa membrek dengan kuat. Ia mengelakkan daripada roda terkunci yang boleh menyebabkan hilang cengkaman seterusnya kegagalan berhenti dengan selamat (dan cepat dengan jarak yang lebih singkat).

Bak kata orang, “always buy the best car you can afford” (sentiasa beli kereta yang paling mampu anda beli). Kereta yang lebih “mahal” kebiasaannya dilengkapi dengan alat dan teknologi keselamatan yang lebih baik.

Itu sahaja perkongsian kali ini.. Salam hormat dari saya dan pandulah dengan selamat.. Jangan lupa pemakaian tali pinggang keledar dan kerusi keselamatan kanak-kanak. Ia mampu menyelamatkan banyak nyawa.

Artikel lanjut tentang insiden ini boleh dibaca di sini


Ditulis oleh Cikgu Marwan,

Pengajar Memandu, Penilai Ujian Berkelayakan (QTI), Penceramah KPP dan juga Presiden MyDIA

Undang-undang Baru Diperkenalkan di UK terhadap Kesalahan Menggunakan Telefon Bimbit Semasa Memandu


“Undang-undang ini terpakai jika anda berhenti di lampu isyarat trafik atau sedang berbaris di dalam trafik dalam keadaan enjin masih hidup.

Anda hanya boleh menggunakan telefon bimbit jika anda telah meletakkan kenderaan (parkir) dengan selamat atau anda perlu membuat panggilan kecemasan 999 atau 112, dan anda dibenarkan untuk menggunakan telefon bebas tangan selagi mana tiada sebarang butang di telefon anda ditekan.

Undang-undang tersebut telah diubah hari untuk memberikan penalti/denda/hukuman yang lebih berat kepada para pemandu yang ditangkap menggunakan telefon bimbit mereka semasa memandu. Di bawah undang-undang baru itu, jika seseorang ditangkap atas kesalahan tersebut denda sebanyak £200 (lebih kurang RM1,200) akan dikenakan di samping akan mendapat mata demerit sebanyak 200 ke atas lesen memandu mereka.

Adalah menjadi satu kesalahan di United Kingdom untuk menyentuh (menggunakan) telefon bimbit walaupun menggunakan alat bebas tangan semasa memandu, sejak tahun 2003 lagi.”

Nota kaki: Bagaimana pula dengan Malaysia, adakah pihak kerajaan bersedia untuk lebih tegas dalam hal sebegini? Jika campur tangan politik masih berterusan dalam hal ehwal keselamatan jalan raya, maka kita akan terus mundur ke belakang berbanding dengan negara maju yang lain.

Baca berita penuh di sini https://www.thesun.co.uk/news/2985435/new-mobile-phone-fines-motorists-teen-caught/
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“The law applies if you are stopped at lights or are queuing in traffic if your engine is still running.

You can only use a handheld phone is you are safely parked or need to call 999 or 112 in an emergency, and you are permitted to use a hands-free phone as long as no buttons are pressed.

The law changed today to introduce tougher penalty for drivers caught using their phones. Under the new law, those caught will get a £200 fine and six points on their licence.

It is illegal to touch a mobile phone – even with a hands free set – while driving, and has been since 2003.”

Read the full article here https://www.thesun.co.uk/news/2985435/new-mobile-phone-fines-motorists-teen-caught/